Thursday, July 8, 2010

Cub Prix Pusingan Kelima 9 Dan 10 Julai Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 7 Julai (Bernama) -- Terengganu akan menganjurkan pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix Petronas AAM Malaysia bermula dari 9 hingga 10 Julai ini.

Perlumbaan yang akan diadakan di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, kali ini dijangka lebih sengit yang menguji kemahiran teknikal pelumba - perubahan ketara berbanding perlumbaan di Sepang bulan lepas yang mengutamakan fokus terhadap kelajuan.

Pada masa ini, Ahmad Fazli Sham (Shell Advance Yamaha Maju) menerajui kategori CP130 dengan 76 mata yang diekori rapat oleh Norizman Ismail (Harian Metro SCK Honda Racing) yang mengumpul 69 mata dan juara bertahan, Ahmad Fuad Baharudin (Petronas Sprinta Yamaha AHM) dengan 59 mata.

Bagi kategori CP115, pelumba muda berusia 14 tahun, Mohd Ramdan Mohd Rosli dari Petronas Sprinta Yamaha AHM masih kekal menerajui cabaran dengan 81 mata diikuti Mohd Iskandar Raduan (Petronas Sprinta Yamaha Raceline) yang mengutip 76 mata dan Md Rozaiman Md Said (Motul Yamaha YY Pang) dengan 67 mata.

Bagi cabaran kategori Wira, Md Syawalludin Md Zaki (Modenas FortyOne) terus mendominasi kedudukan apabila mengumpul 60 mata, diikuti Md Azhar Abd Jalil (Motul Yamaha YY Pang) dengan 57 mata dan Md Fitri Ashraf Razali (Caviaga Modenas Cilik Racing) 54 mata.

Global PR Sdn Bhd dalam kenyataan di sini hari ini berkata mereka yang tidak berpeluang untuk hadir di stadium boleh menonton perlumbaan itu secara langsung di Astro Supersports 2 (saluran 816) bermula 2.30 hingga 4.30 petang.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails